Pages

Friday, 17 January 2014

Landskap - Kecil tetap menawan

KECIL, sempit tetapi menarik. Menghias laman yang mempunyai kawasan terhad ternyata memberi cabaran besar kerana ia tidak semudah disangkakan, lebih-lebih lagi jika sebahagian besar laman dipasang jubin.

Tanpa peruntukan terlalu besar, sedikit kemahiran dan minat, pastinya taman kecil dapat direalisasikan di laman rumah walaupun hanya sebuah taman ringkas. Paling penting ia berupaya menjadi tempat menenangkan seisi keluarga.

Pemilik, Marina Saidin, 40, berkata, konsep tropika menjadi pilihan berikutan keluasan tanah terhad dan tumbuhan jenis berkenaan amat sesuai dengan cuaca di negara ini selain tahan lama serta mudah dijaga berbanding lain. 

“Taman ini tidaklah cantik dan besar seperti rumah lain, tetapi sekurang-kurang ia mampu membuatkan kami sekeluarga berkumpul dan menyemai kasih sayang terhadap alam semula jadi. Taman ini menjadi pengerat ikatan.

“Setiap kali mempunyai masa terluang, kami pasti berkumpul menyelenggara dan membuang daun mati. Disebabkan masih baru kira-kira empat bulan, penyelenggaraannya bukan masalah besar selain pembesaran masih terkawal,” katanya.

Beliau berkata, jika pemilik kediaman lain lebih suka menanam tumbuhan besar sehingga menghalang pandangan luar, tetapi tidak baginya kerana lebih suka dengan konsep terbuka, membenarkan udara masuk ke dalam rumah. 

“Dalam konsep tropika, jenis tumbuhan digunakan tidak terlalu besar dan berdaun, sesuai bagi pemilik yang mempunyai masa terhad. Walaupun saya tidak bekerja, tetapi saya kerap berada di luar seperti orang bekerja.

“Untuk menampakkan kesinambungan antara luar dan dalam, saya membina tingkap berkonsep terbuka supaya tampak cantik sekali gus mendamaikan sesiapa saja. Konsep ini membenarkan mereka duduk di mana saja,” katanya. 

Beliau berkata, pada mulanya, mereka bercadang membuat air terjun di sudut laman, tetapi disebabkan kawasan kecil, jadi hasrat itu terpaksa dipendamkan dulu. Jika bosan dan inginkan pembaharuan, akan difikirkan cara lain.

“Bagi membolehkan kami sekeluarga menikmati pemandangan taman pada waktu malam pula, lampu taman dengan reka bentuk ringkas dipasang bersebelahan pokok. Boleh dikatakan setiap hari saya akan bercakap dengan pokok apabila ada masa terluang,” katanya.

Walaupun, hanya mempunyai tanah kira-kira setengah meter, ia dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan pemilihan pokok tidak terlalu besar sehingga merosakkan jubin yang dipasang sepanjang laluan tepi kediaman.

“Hampir semua pokok ini saya tanam sendiri yang kebanyakan dibeli di sekitar Sungai Buloh. Saya juga rajin membaca buku mengenai landskap dan bagaimana untuk mengelakkan pokok daripada dihinggap penyakit.

“Bagi saya, membina taman hasil usaha sendiri lebih bermakna. Biarlah orang lain berbangga dengan taman besar tetapi saya senang dan bangga dengan taman ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

About